Ubatan Herba: Manfaat atau Mudarat?
Ubatan herba digunakan oleh sebilangan masyarakat Malaysia untuk mengubati penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan kanser.
Sebelum mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ubat herba perlu memenuhi tiga kriteria utama iaitu kualiti, keselamatan dan ketoksikan. Pemeriksaan juga dilakukan untuk memastikan ubatan herba bebas dari campuran ubatan terkawal dan bahan-bahan lain yang berbahaya. Produk yang memenuhi semua kriteria yang ditetapkan KKM akan mempunyai nombor MAL dan label keselamatan hologram.
Keberkesanan penggunaan ubatan herba kebiasaannya tidak diuji secara praklinikal dan klinikal. Lazimnya produk kapsul herba dihasilkan melalui pengisaran tumbuhan kering dan tidak melalui proses pengekstrakan. Jumlah berat serbuk herba yang dikapsulkan pula ditentukan oleh syarikat pengeluar tanpa melalui ujian dos keberkesanan secara saintifik.
Dari segi amalan tradisi, nenek moyang kita menggunakan air rebusan tumbuhan herba bagi tujuan rawatan. Melalui kaedah ini, khasiat tumbuhan herba diekstrak dengan air dan ianya dapat mengurangkan risiko kegagalan fungsi sistem perkumuhan badan.
Penggunaan ubatan herba tidaklah mendatangkan kemudaratan sekiranya diambil dalam jumlah dan tempoh yang diperlukan sahaja. Pengguna dinasihatkan mendapat nasihat daripada doktor sebelum mengambil sebarang jenis ubatan herba.
Sumber: Penggunaan Ubatan Herba Sebagai Rawatan Penyakit: Manfaat atau Mudarat?
